Firman Allah taala yang bermaksud :
"Sesungguhnya kami telah mengemukakan amanah kepada langit,bumi dan gunung-ganang. Semuanya enggan untuk memikul amanh itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya dan dipikulnya amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia amat zalim dan amat jahil." (al-Ahzab : ayat 72 ).
Ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawasanya tanggungjawab & amanah merupakan tanggungan yang berat sehingga tidak mampu dipikul oleh makhluk lain melainkan manusia yang sesuai dengan sifat mereka yang amat zalim dan jahil. Disamping itu juga, tanggungjawab & amanah terletak pada semua manusia, tidak mengira samaada pada lelaki ataupun perempuan kerana Nabi s.a.w bersabda :-
"Setiap seorang dari kamu adalah pengawal (pemimpin) yang bertanggungjawab terhadap rakyatnya (orang di bawah peliharaanya). Seorang lelaki adalah sebagai pelindung kepada ahli rumahnya dan bertanggungjawab terhadap tanggungannya. Perempuan di rumah suaminya adalah penjaga dan bertanggungjawab terhadap tanggungannya, begitu juga seorang khadam pemelihara harta tuannya dan bertanggungjawab terhadap jagaan di bawahnya." ( Al-Bukhari )
Firman Allah dan hadis Nabi s.a.w yang telah disebut tadi menerangkan kepada kita bahawa tanggungjawab & amanah yang dipikul bukan sahaja terletak pada pihak tertentu, bahkan ianya terletak pada semua manusia. Ianya menjadi satu tugas daripada Allah taala kepada hambaNya. Bebanan ini menjadi tanggungjawab sepanjang kehidupan kita bermula kita baligh sehingga Allah taala menarik kembali tanggungjawab tersebut. Pengtaklifan yang dianugerahkan ini adalah untuk menguji hambaNya, sejauh mana hambaNya beriman dan kepercayaan terhadapNya. Kerana kadang-kadang manusia mengaku beriman sedangkan mereka masih belum diuji oleh Allah taala.
Apabila kita menyebut tanggungjawab, ianya adalah amanah daripada Allah taala, pelbagai amanah yang akan dipikul oleh manusia ketika mana hidup di dunia Allah taala ini. Amanah akan wujud di merata tempat, tidak kira sama ada diperingkat sekolah, keluarga, masyarakat kampung, negeri atau pun negara. Amanah ini akan menjadi persoalan disisi Allah taala, kerana manusia tidak dapat lari dari memikul sebarang amanah daripada Allah taala.
Pemimpin diperingkat organisasi sekolah atau universiti, amat diperlukan kerana ianya berfungsi melatih para pelajar mengenal dunia kepimpinan dan belajar memimpin sekelompok masyarakat yang memerlukan kepada pembimbing dan pertolongan daripada pemimpinnya. Organisasi diperingkat sekolah atau universiti mengajar kita erti kehidupan sebenar di dunia ini. Banyak cabaran dan dugaan yang sedang menanti kita. Di dalam organisasi inilah memberi tunjuk ajar kepada kita macam mana cara untuk menangani sesuatu masalah yang ditimpa, disamping itu juga ianya mendidik mematangkan kita, kerana masalah yang kita hadapi mengajar kita sifat bersabar dan membuat kita mampu untuk menangani masalah dengan genius. Apabila terlibat dengan persatuan, kita tidak akan terlepas daripada menghadapi sebarang kemungkinan masalah. Masalah yang dihadapi datang daripada pelbagai sudut, samaada datang daripada diri sendiri mahu pun daripada masyarakat bawahan kita. Ini adalah ujian dan dugaan yang tidak dapat tidak mesti dihadapi oleh seorang yang bergelar pemimpin. Tugas menjadi pimpinan ini adalah pengtaklifan daripada Allah taala. Allah taala telah menentukannya, walaupun kadang-kadang kita tidak menyangka bahawa tugas ini akan kita pikul, akan tetapi ianya sudah ditetapkan di "Maqadir". Sesungguhnya Allah taala tidak akan mengtaklifkan kepada mereka yang tidak mampu untuk memikul amanah ini, bahkan Allah taala mengtaklifkan kepada mereka yang mampu dan layak untuk memikulnya. Di dalam urusan melantik pemegang jawatan-jawatan sebagai amanah yang dipertanggungjawabkan adalah sabit dari beberapa buah hadis:-
Daripada Abu Zarr katanya : "Suatu hari saya berkata kepada Rasulullah : tidakkah junjungan bercadang melantik saya?"Jawabnya sambil meletakkan tangannya ke atas bahuku : Wahai Abu Zarr, sebenarnya engkau seorang yang lemah, sedangkan jawatan itu suatu amanah. Di hari kiamat dia akan membawa malu dan penyesalan kecuali orang yang mempunyai kemampuan dan menyempurnakan tanggungjawab dengan sempurna." (Muslim)
Kemampuan ilmiah dan amaliah bukannya terletak pada semua manusia, bahkan ianya terletak pada sesetengah manusia yang dipilih oleh Allah taala. Mereka yang mempunyai iman yang kuat, baik akhlaknya dan mulia akan tetapi tidak mempunyai kelayakkan untuk memegang jawatan-jawatan dan menjalani tugas dengan sempurna.
Sebagaimana yang berlaku ke atas nabi Yusuf a.s, baginda menawarkan diri bagi menguruskan hal ehwal kewangan negara Mesir, bukannya di atas sebab kenabian dan ketaqwaan baginda bahkan di atas kemampuan baginda mengawal dan menguruskan hal ehwal kewangan. Firman Allah taala yang menceritakan kata-kata nabi Yusuf kepada raja Mesir yang bermaksud :-
"Lantiklah saya mentadbir khazanah negara kerana saya boleh mengawal dan mempunyai pengetahuan" (Surah Yusuf : ayat 55)
Jelas kepada kita bahawa tugas memimpin masyarakat umumnya telah terletak pada semua manusia. Ada dikalangan mereka yang Allah taala mengtaklifkan menjaga keluarga sahaja dan pelbagai lagi amanah lain. Akan tetapi tugas menjaga keluarga, seperti kelazimannya terletak pada kaum lelaki. Kerana kaum lelaki yang mendirikan rumahtangga tidak dapat tidak akan menerima tanggungjawab daripada Allah taala. Tanggungjawab terhadap isteri, tanggungjawab terhadap anak-anak dan seluruhnya. Sesuatu yang berlaku ke atas keluarga, kaum lelakilah yang akan dipersoalkan oleh Allah taala pada hari kiamat kelak. Apa yang kita lihat ini adalah tangungjawab diperingkat keluarga, dan kepada mereka yang mempunyai tanggungjawab dan amanah diperingkat yang lebih tinggi bagaimana pula? Mereka ini mempunyai tanggungjawab yang lebih besar. Setelah diuji dengan memikul tanggungjawab berkeluarga, mereka juga diuji dengan memikul tanggungjawab untuk memimpin masyarakat sama ada kampung, negeri dan negara. Sebab itu, pengtaklifan daripada Allah taala hanyalah kepada mereka yang mampu sahaja dalam menguruskan tugas-tugas memegang jawatan.
Amanah berkehendakkan kepada sebaik-baik dan selayak-layak calon untuk memegang sesuatu jawatan. Seandainya kita mengenepikan syarat-syarat ini, kerana pilih kasih dan kerana hubungan kaum kerabat, nescaya kita melakukan perbuatan yang tercela. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :-
"Barangsiapa melantik seorang untuk mengetuai suatu kumpulan sedangkan ada seorang lain yang lebih berhak dan layak daripada nya disisi Allah taala(mempunyai sifat-sifat yang diredhai Allah)sesungguhnya ia telah mengkhianati Allah dan Rasulnya serta orang-orang mukmin seluruhnya."
Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud :-
"Barangsiapa yang memegang satu-satu kuasa atau urusan orang islam kemudian ia melantik seorang ketua ke atas mereka berdasarkan pilih kasih maka balasannya ialah laknat Allah, tidak diterima sebarang galang ganti baginya sehingga dimasukkan dia ke dalam neraka jahanam."
Sesungguhnya tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh seorang pemimpin kelompok masyarakat yang besar telah ditugaskan kepada mereka yang mampu dan layak disisi Allah taala sahaja. Ianya sudah menjadi ketentuan daripada Allah taala. Barangsiapa yang ditaklifkan dengan tugas ini, maka secara langsung mereka mempunyai tugas yang amat besar dan setiap tugas mereka itu akan menjadi persoalan kepada Allah taala.
Namun begitu, kita jangan lupa bahawa pemimpin memang diperlukan, kerana pemimpin adalah petunjuk dan pembawa masyarakat bawahannya. Sekira mana masyarakat bawahannya berada di jalan yang salah maka pemimpinlah yang akan membantu mereka. Maka ganjaran yang amat besar disisi Allah taala jikalau pemimpin tersebut, amanah dengan tugasnya dan ikhlas kerana Allah taala. Ingatlah bahawa sifat amanah kepada seseorang amat penting, setiap amanah dan tangungjawab yang kita pikul hendaklah dijaga dengan baik dan jangan menyerahkan amanah yang dipikulkan kepada kita, kepada mereka yang bukan selayaknya untuk memikul amanah tersebut. Kerana sunnah Rasulullah s.a.w memperingatkan kepada kita bahawa yang demikian adalah menjadi tanda-tanda kerosakkan yang akan timbul di akhir zaman. Pada suatu hari datang seorang lelaki bertanyakan Rasulullah s.a.w :-
"Bilakah akan berlaku kiamat?"Jawab Rasulullah : "Apabila sifat amanah telah hilang maka tunggulah kiamat." ujar orang itu :"Bagaimana cara ia dihilangkan?" Jawab Nabi : "Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya (tidak layak) maka tunggulah kiamat."
Maka setiap amanah yang ditaklifkan, laksanakanlah ianya dengan baik.Lakukan dengan sedaya upaya, sekadar kemampuan yang dianugerahkan oleh Ilahi kepada kita. Setiap mereka yang bergelar pemimpin pasti akan ada manah dan ujian. Hadapilah ujian dengan ketenangan dan ketabahan yang dimiliki. Allah taala adalah sebaik-baik tempat untuk mengadu, kepadaNya kita berserah dan kepadaNya kita memohon pertolongan.
Firman Allah taala yang bermaksud :-
"Supaya Allah taala menyeksa orang-orang munafik lelaki dan perempuan, orang-orang musyrikin lelaki dan perempuan dan Allah taala menerima taubat orang-orang mukminin lelaki dan perempuan. Allah taala adalah maha pengampun dan maha penyayang"
Wallahua'lam